Tiada laporan ajaran sesat Hadi Minallah di Selangor

Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu. Gambar kecil: Mohd Zawawi
Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu. Gambar kecil: Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menerima laporan berhubung penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah di Selangor setakat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kegiatan penyebaran ajaran itu belum dikesan di Selangor, namun perkara itu akan terus dipantau dari semasa ke semasa.

"Penguatkuasaan JAIS giat melakukan pemantauan dan tindakan segera bagi membendung sebarang penyebaran ajaran sesat di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Zawawi berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor baharu sahaja mewartakan dua ajaran sesat dan mengambil tindakan pengisytiharan taubat (Istitabah).

"Dua ajaran sesat sebelum ini telahpun diwarta iaitu ajaran Ibu Yati dan Asma Al Husna.

"Kedua-dua ajaran itu mulanya dikesan di Pahang dan turut berlaku di Selangor, jadi kita telah mewarta dan mengambil tindakan," katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah.

Beliau berkata, maklumat berhubung lokasi itu sudah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diambil tindakan selanjutnya.