Hentikan amalan makan hidangan eksotik

Pemilik restoran sanggup mendapatkan bekalan haiwan dilindungi pada harga tinggi.
Pemilik restoran sanggup mendapatkan bekalan haiwan dilindungi pada harga tinggi.
A
A
A

SUP daging harimau atau beruang, daging ular masak kukus atau katak goreng tepung adalah antara menu hidangan eksotik yang mungkin tidak tergamak untuk kita menikmatinya.

Namun, sebenarnya menu itulah yang diburu penggemar hidangan eksotik.

Mereka tidak ramai tetapi ada dalam kelompok masyarakat dan sanggup berhabis duit kerana percaya dengan khasiat yang kononnya terkandung dalam hidangan tersebut.

Dengan memakan hidangan yang sukar diperoleh, ia dikatakan mampu memberi kekuatan luar biasa kepada tubuh badan.

Bagi golongan lelaki, mereka percaya ia boleh menguatkan tenaga batin walaupun perkara itu masih belum dibuktikan secara saintifik.

Penggemar hidangan eksotik adalah golongan yang berkemampuan dari segi wang ringgit kerana bukan murah untuk menikmatinya.

Seketul sup gear box (lembu) pun harganya dah mencecah belasan hingga puluhan ringgit.

Entah berapa pula harga semangkuk sup harimau Malaya yang semakin pupus, dikatakan tinggal 150 ekor sahaja di hutan Semenanjung.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam laporan Sinar Ahad pada 7 Ogos lalu yang mengesan terdapat restoran dan kedai makan eksotik menawarkan hidangan daging haiwan liar.

Siasatan polis mendapati terdapat aktiviti melibatkan individu tertentu yang mendapatkan sumber daging haiwan liar daripada Orang Asli dan penduduk tempatan dengan menawarkan harga tinggi.

Menurutnya, mereka juga berselindung daripada penguat kuasa dengan cara mengambil lesen perniagaan hidupan liar tetapi menyajikan haiwan liar tidak dibenarkan seperti daging beruang dan buaya.

“Ada juga kedai makanan eksotik ini menawarkan hidangan haiwan liar kepada pelanggan terpilih sahaja.

“Pelanggan perlu memesan terlebih dahulu melalui telefon atau WhatsApp,” kata beliau.

Sehubungan itu, bagi mengekang aktiviti pemburuan haram, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta agensi kerajaan lain akan mengambil tindakan lebih drastik untuk menangkap penjenayah hidupan liar.

Bahkan, penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) di bawah PDRM dengan 50 jawatan baharu diluluskan Julai lalu akan terlibat dalam siasatan jenayah hidupan liar.

Ia sekali gus memberi fokus usaha PDRM melindungi khazanah flora dan fauna negara yang semakin pupus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman menjelaskan, khasiat sesuatu makanan perlu dibuktikan melalui kajian saintifik.

Menurutnya, haiwan seperti ular tedung dan katak misalnya, memiliki bisa atau toksin.

Ketidaktelitian pihak yang memprosesnya memungkinkan racun tersebut berpindah ke dalam hidangan dan ke tubuh orang yang memakannya.

Nasihatnya lagi, lebih baik ambil makanan sihat yang telah terbukti mempunyai khasiat melalui kajian-kajian dilaksanakan sebelum ini.

Terdapat beberapa negara di rantau ini termasuk Vietnam telah menjalankan kajian saintifik mengenai khasiat makanan melibatkan beberapa hidupan liar, namun tiada kandungan nutrisi terperinci dipamerkan kepada orang ramai.

Justeru, tak perlulah kemaruk hendak makan hidangan haiwan liar. Dalam Islam sendiri, ada mengajar agar kita hendaklah meninggalkan makanan yang diragukan.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Bagaimanapun, antara kedua-duanya wujud perkara yang tidak jelas hukumnya (syubhah), maka lebih selamat kamu meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pilihlah makanan yang berkhasiat, halal dan tidak meragukan. Ikan, ayam, daging lembu, kambing sudah memadai untuk kita makan.

Hentikan amalan gemar makan hidangan eksotik. Jangan benarkan ada lagi penawaran terhadap hidangan haiwan liar terutama harimau Malaya, beruang, kambing gurun dan sebagainya.

Lebih baik ambil makanan sihat yang telah terbukti mempunyai khasiat melalui kajian-kajian dilaksanakan sebelum ini."

*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian