Malaysia, Thailand teroka bidang kerjasama baharu

Saifuddin dan Don ketika sidang akhbar pada Rabu. - Foto Bernama
Saifuddin dan Don ketika sidang akhbar pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Malaysia dan Thailand berminat untuk meneroka bidang kerjasama baharu termasuk dalam sektor pertanian dan ekonomi digital bagi meningkatkan kerjasama ekonomi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha telah menetapkan sasaran perdagangan dua hala baharu sebanyak AS$30 bilion (RM134 bilion) menjelang 2025.

"Malaysia dan Thailand sepakat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, antara lain, untuk meneroka bidang kerjasama baharu,” katanya ketika sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Thailand Don Pramudwinai, yang juga Timbalan Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Saifuddin dan Don sebelum itu bersama mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JC) bagi Kerjasama Dua Hala Kali Ke-14 dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama (JDS) Kali Ke-5 bagi Kawasan Sempadan.

Thailand merupakan rakan dagangan ke-6 terbesar Malaysia dan rakan dagang kedua terbesar di kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 23 peratus kepada AS$23.64 bilion pada 2021 berbanding tahun sebelumnya

Mengenai kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur sempadan.

Ia termasuk membina jalan untuk menghubungkan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dengan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao baharu di Songkhla dan Jambatan Persahabatan Kedua Rantau Panjang di Sungai Golok.

"Hampir 50 peratus perdagangan dua hala Malaysia-Thailand tertumpu di kawasan sempadan.

"Mempunyai infrastruktur yang baik di kawasan sempadan amat penting untuk menyokong keperluan rakyat dan komuniti perniagaan," katanya.

Semasa pertemuan itu, Saifuddin berkata, sebagai antara tiga pengeluar getah asli terbaik di dunia, Malaysia dan Thailand turut meninjau untuk meneroka kerjasama dalam menstabilkan harga getah.

"Kedua-dua pihak juga membincangkan bagaimana Bandar Getah Kedah dan Bandar Getah Songkhla boleh bekerjasama untuk memanfaatkan pekebun kecil getah di kedua-dua negara dengan menstabilkan harga pasaran dan memanfaatkan pembekal rantaian nilai bagi industri berasaskan getah,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, mesyuarat pada Rabu membuahkan hasil kerana ia memberi peluang kepada Malaysia dan Thailand untuk mengkaji semula kemajuan program kerjasama dua hala.

Kali terakhir kedua-dua mesyuarat - JC dan JDS diadakan adalah tujuh tahun lalu di Kuala Lumpur.

Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat JDS dan JC berikutnya di Kuala Lumpur tahun depan pada tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak. Berdasarkan giliran, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 di peringkat Pemimpin. - Bernama