Puspakom sedia tambah baik pemeriksaan kenderaan berat

Puspakom bersedia untuk memberikan kerjasama penuh terhadap cadangan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat. - Gambar hiasan
Puspakom bersedia untuk memberikan kerjasama penuh terhadap cadangan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bersedia untuk memberikan kerjasama penuh terhadap cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat.

Ia antaranya item melibatkan tahap keselamatan yang tinggi kenderaan jenis tersebut seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Puspakom berkata, pihaknya menyambut baik terhadap cadangan tersebut yang dilihat dilakukan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di jalan raya.

“Kaedah pemeriksaan yang sedia ada pada masa ini adalah dibuat sebagaimana telah ditetapkan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995.

“Di bawah cadangan ini, kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh Puspakom apabila diputuskan oleh JPJ kelak.

"Ia tidak melibatkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, antara tindakan bakal diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan terutama melibatkan kenderaan perdagangan adalah menambah baik prosedur pemeriksaan dijalankan di Puspakom.

Dalam pada itu, Puspakom berkata, usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan dalam menyelenggarakan kenderaan masing-masing.

Sementara itu, Puspakom turut memaklumkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 buah kenderaan berat.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 15.8 peratus atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan ditetapkan JPJ termasuk 4.6 peratus atau 12,339 kenderaan berat adalah gagal ujian kecekapan brek.

Pada masa sama, Puspakom memaklumkan bahawa pihaknya turut menyambut baik usaha pihak JPJ untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi dijalankan di semua 54 pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

“Pada masa ini, pemantauan oleh pihak JPJ adalah dilakukan secara berkala. Hasil daripada pemantauan tersebut, tindakan susulan yang bersesuaian telah diambil serta-merta oleh Puspakom.

“Pada tahun 2021 sahaja, JPJ telah menjalankan 741 pemantauan terhadap pusat-pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini, Puspakom telah secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi Kerajaan Malaysia yang meliputi aspek penyampaian perkhidmatan baik kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan mampan.

Jelasnya, dengan meningkatkan lagi kekerapan pemantauan dan di samping pemantauan dalaman yang dijalankan oleh Puspakom sendiri, langkah itu dapat memastikan tahap kualiti pemeriksaan kenderaan dijalankan sentiasa berada di tahap tinggi pada setiap masa.

Pada masa sama, Puspakom turut memaklumkan bahawa usaha penambahbaikan sentiasa dilaksanakan secara berterusan terutamanya bagi aspek seperti polisi, prosedur kerja dan penggunaan teknologi terkini berkaitan sistem serta proses.

Katanya, ia termasuk usaha memupuk budaya kerja berintegriti tinggi dalam kalangan kakitangan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Rangka Kerja Pematuhan Integriti PUSPAKOM (PICF).

“Ini adalah selaras dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan pensijilan ISO: 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah,” ujarnya.