CAP gesa PSC patuhi nasihat Agong

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Subbarow
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Subbarow
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) supaya mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu rakyat menyokong Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Pegawai pendidikannya, NV Subbarow berkata, sudah tiba masanya untuk PSC membuat keputusan bijak mengenai rang undang-undang baharu itu, yang dimajukan kepada mereka untuk meneliti klausa penguatkuasaan.

"CAP menyokong penuh seruan Seri Paduka Baginda bahawa golongan muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan kesihatan terbaik bagi mengelakkan perkara yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

"Ia adalah nasihat terbaik. Seri Paduka Baginda amat mengambil berat tentang kesihatan generasi akan datang.

"Bagaimanapun, CAP kecewa dengan ahli Parlimen tertentu yang masih mengamalkan sikap ‘tunggu dan lihat’ terhadap rang undang-undang itu, juga dikenali sebagai permainan akhir generasi tembakau (GEG),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah berkenan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebagai satu usaha murni daripada pihak kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, seluruh rakyat Malaysia harus memberi satu sokongan dan dokongan supaya RUU ini dapat diteliti dan dikaji secara mendalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ia merupakan satu usaha terbaik untuk menjaga dan menentukan kesihatan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.

Sehingga kini, Subbarow berkata, lebih 20 negara kebanyakannya di Amerika Selatan, Timur Tengah dan Asia Tenggara telah melarang penjualan produk e-rokok.

Beliau berkata, Thailand juga mempunyai undang-undang yang ketat.

"Ramai anak muda yang tidak pernah menghisap rokok tradisional sebelum ini menghisap vape dan e-rokok yang kini boleh didapati dalam lebih 16,000 perisa.

"Menghisap vape mungkin mendorong peningkatan penggunaan nikotin untuk remaja. Dalam tinjauan yang dijalankan CAP mendapati, semakin ramai kanak-kanak termasuk remaja perempuan dari sekolah rendah dan menengah ketagih vape dan e-rokok.

"Kanak-kanak dan belia ini membelanjakan lebih banyak wang untuk vape daripada makanan atau membeli buku," katanya.

Subbarow berkata, tinjauan CAP juga mendapati vape dan e-rokok ini menjadi seperti gula-gula kepada kanak-kanak kecil kerana didatangkan dalam pelbagai perisa buah-buahan berbentuk cecair.