RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 usaha murni: Agong

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat tapak pameran NIH sambil diiringi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Setia Alam pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat tapak pameran NIH sambil diiringi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Setia Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebagai satu usaha murni daripada pihak kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, seluruh rakyat Malaysia harus memberi satu sokongan dan dokongan supaya RUU ini dapat diteliti dan dikaji secara mendalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ia merupakan satu usaha terbaik untuk menjaga dan menentukan kesihatan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.

"Kita perlu menegaskan iaitu perlu mendidik anak-anak muda kita untuk mengadakan satu kesihatan yang paling baik.

"Amalan-amalan baik perlu diteraskan supaya perkara yang boleh menjejaskan kesihatan dapat dikurangkan.

"Lebih penting lagi ia dapat kurangkan perbelanjaan hospital di negara kita," titah Seri Paduka Baginda semasa merasmikan Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi perkhidmatan sewaktu memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara.

"Tiada kata untuk beta mengatakan, besar kebanggaan serta berterima kasih ke atas setiap kakitangan KKM yang bertungkus-lumus bersama anggota tentera, polis dan lain-lain yang memberi seluruh jiwa serta raga sehingga kini kita berjaya memasuki fasa peralihan endemik.

"Beta harap KKM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dapat terus meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih ikhlas, mesra dan jitu untuk tentukan setiap kita berada dalam keadaan selamat," titah Seri Paduka Baginda.