Warga emas ditetak anak saudara mengamuk

Seorang warga emas cedera akibat ditetak dengan parang oleh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya, pada Selasa.
Seorang warga emas cedera akibat ditetak dengan parang oleh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya, pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang warga emas cedera akibat ditetak dengan parang oleh anak saudaranya kerana menegur lelaki itu mengamuk dalam kejadian di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 73 tahun luka di kepala akibat ditetak suspek lelaki yang berusia 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, laporan dibuat oleh mangsa selepas bimbang dengan tindakan suspek yang mungkin menyebabkan kejadian lain.

"Ketika kejadian, suspek mengganggu penduduk dengan membaling batu dan kayu beruti ke rumah penduduk di kawasan tersebut tanpa sebab.

"Mangsa cuba menegur perbuatan suspek tetapi suspek balik ke rumahnya dan mengambil parang sebelum datang semula lalu menetak kepala mangsa hingga luka," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, suspek melarikan diri masuk ke hutan selepas melihat kepala mangsa yang berdarah.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) dan membuat laporan untuk makluman keselamatan kerana bimbang suspek bertindak lebih ganas," katanya.

Mohd Zaidi berkata, susulan daripada laporan itu, suspek ditahan pada jam 4.30 petang hari sama di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan, suspek tidak bekerja dan seorang penagih dadah. Suspek ditahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.