Najib nafi terlibat, berpakat 'songlap' dana LCS

Najib. Kenyataan dimuat naik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya.
Najib. Kenyataan dimuat naik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan dirinya terlibat dalam menyeleweng dana projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dengan menggunakan beberapa lapis syarikat sehingga menyebabkan kos bahagian kontrak tersebut naik tiga kali ganda.

Sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, dua syarikat tersebut iaitu Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat usaha sama 49 hingga 51 peratus antara Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu anak syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan syarikat Jerman terkenal Rheinmetall Air Defence AG.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mengaitkan dirinya dalam isu berkenaan.

"Rafizi memberitahu dua syarikat lapis tersebut adalah CAD dan CED namun dia tak sebut siapa yang memiliki syarikat-syarikat tersebut.

“Semakan menunjukkan bahawa kedua-dua syarikat berkenaan adalah syarikat usaha sama 49 hingga 51 peratus antara BHIC iaitu anak syarikat Boustead milik LTAT dengan syarikat Jerman terkenal Rheinmetall Air Defence AG.

“Rheinmetall Air Defence AG adalah sebahagian daripada kumpulan Rheinmetall Jerman yang amat besar dengan penjualan tahunan mencecah RM30 bilion selain ia juga antara pakar utama dunia bagi sistem pertahanan ancaman udara jarak pendek,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memulakan siri pendedahan berhubung isu projek LCS oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan beberapa dakwaan antaranya BNS menerima dokumen sebut harga daripada Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) sebelum surat lantikan (LOA) kerajaan Malaysia.

Najib menambah, Pengarah Urusan syarikat BHIC dan Pengerusi Jawatankuasa projek LCS pada masa itu adalah bekas Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

“Syarikat BHIC juga merupakan syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia. Jadi, apa kaitan isu ini dengan saya?.

“Dan adakah Rafizi tuduh bahawa bekas Panglima Tentera Laut, LTAT dan syarikat gergasi Jerman itu berpakat dengan saya untuk songlap?

“Ataupun syarikat BHIC anak syarikat Boustead berpakat dengan syarikat Jerman itu untuk menipu syarikat Boustead?,” ujarnya.

Najib turut mempersoalkan bagaimana dirinya terlibat sedangkan beliau langsung tidak pernah campur tangan dalam pemberian dan pengurusan projek LCS berkenaan.

“Kenapa tak siasat sepenuh-penuh dan sepuas-puas hati sekiranya bekas Panglima Tentera Laut, syarikat Boustead milik LTAT dan syarikat Jerman itu disyaki bersalah?

“Saya tak ada bantahan sebab saya langsung tak terlibat,” soalnya.