Kerajaan digesa tubuh RCI dedah skandal LCS

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal projek enam kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Ujar beliau, hanya siasatan RCI yang telus dan berwibawa dapat mendedahkan skandal projek tersebut dan mengenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.

“RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah,” katanya dalam siaran di Facebook rasminya pada Isnin.

Pada Khamis, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan kapal LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal tersebut dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Selain itu, menurut Wan Saiful, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya skandal berkenaan.

“Saya juga menyokong tindakan SPRM menyiasat perkara ini.

“Jika tiada siasatan telus dijalankan, skandal pembelian LCS ini akan menjadi salah satu skandal mega sebagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah mencemarkan nama negara di mata dunia dan mengaitkan Malaysia dengan skandal korupsi.

“Lebih buruk lagi jika ada usaha secara aktif untuk menyembunyikan apa-apa salah laku,” ujarnya.