Ibu menangis tatap anak selepas 5 bulan koma

Mohd Saiful membantu membawa Muhamad Syahmi kepada Norfadilla.
Mohd Saiful membantu membawa Muhamad Syahmi kepada Norfadilla.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu hanya mampu menangis teresak-esak dalam pertemuan pertama kali dengan bayinya, semalam selepas tersedar dari koma selama 138 hari akibat komplikasi bersalin bermula 18 November tahun lalu.

Norfadilla Che Par, 28, yang masih belum boleh bercakap itu kelihatan gembira berbaur sebak sehingga hanya menangis sahaja ketika pertemuan selama dua jam dengan anak tunggalnya itu, Muhamad Syahmi Mohd Saiful.

Bayi comel seberat 7 kilogram terbabit pula mulanya “menghadiahkan” senyuman paling manis buat wanita yang melahirkannya itu, namun ikut menangis seolah-olah memahami keadaan.

Mereka dipertemukan oleh ahli keluarga dan suami Norfadilla juga bapa bayi berkenaan, Mohd Saiful Sudin, 29, pada jam 10 pagi, di hadapan dewan Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Terus menangis selama dua jam ketika bertemu anak selepas tersedar dari koma.
Terus menangis selama dua jam ketika bertemu anak selepas tersedar dari koma.

Mohd Saiful ketika ditemui mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana Norfadilla yang mesra disapa Mokla dalam kalangan keluarga itu kini beransur pulih kira-kira 80 peratus.

Katanya, keadaan Norfadilla masih di bawah pemantauan doktor di ICU, HRPZ II, di sini, dan masih minum susu menggunakan tiub saluran yang ditebuk pada leher serta menjalani fisioterapi kerana jari yang membengkok kerana terlalu lama tidak bergerak.

Artikel Berkaitan:

“Dia belum mampu bercakap, namun menyatakan melalui isyarat mahu menatap wajah anak sulung kami sebelum doktor memberikan kebenaran dan pertemuan itu diaturkan semalam (kelmarin).

Norfadilla mencium bayinya yang terlena dalam pangkuannya.
Norfadilla mencium bayinya yang terlena dalam pangkuannya.

“Isteri dan anak kami dipertemukan di hadapan dewan bedah ICU ini bagi mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad.

“Isteri sebak sebaik sahaja menatap wajah cahaya mata kami buat kali pertama dan esakkannya kuat hingga seperti hendak terkeluar suara serta berlarutan selama dua jam sebelum doktor mengarahkannya kembali dimasukkan ke dalam dewan ICU kerana bimbang menjejaskan emosi yang baharu saja hendak pulih selepas tersedar dari koma,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Saiful menunjukkan gambar ketika isteri dipertemukan dengan anak mereka.
Mohd Saiful menunjukkan gambar ketika isteri dipertemukan dengan anak mereka.