'Gembira dapat rumah lebih selesa'

Norazizah (dua,kiri) dan Mohd Zairuddin (tiga,kanan) bergambar bersama Selamat (tiga dari kiri) dan Amran (kiri) selepas majlis penyerahan replika kunci.
Norazizah (dua,kiri) dan Mohd Zairuddin (tiga,kanan) bergambar bersama Selamat (tiga dari kiri) dan Amran (kiri) selepas majlis penyerahan replika kunci.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang ibu tunggal gembira apabila rumah pusaka keluarganya yang sebelum ini usang dan bocor kini bertukar wajah selepas mendapat bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui skim bantuan baik pulih rumah.

Norazizah Abdul, 47, akui kehidupannya bersama empat orang anaknya kini lebih selesa berbanding dahulu yang tidak dapat tidur lena setiap kali hujan kerana rumahnya akan dimasuki air.

Menurutnya, rumah kayu dua tingkat peninggalan arwah ibunya itu menjadi tempat mereka sekeluarga berlindung selepas dia berpisah dengan suaminya beberapa tahun lalu.

"Memang dulu setiap kali hujan mahupun angin kuat kami sekeluarga akan takut rumah ini akan roboh.

"Dengan atap bocor, dinding dimakan anai-anai memang rumah ini tunggu masa sahaja untuk menyembah bumi namun saya bersyukur apabila nasib kami ini mendapat perhatian ZPP yang membantu melakukan baik pulih hingga membolehkan kami kini hidup dengan lebih selesa," katanya ketika ditemui selepas menerima replika kunci Program MyHAUS yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.

Sementara itu seorang lagi penerima bantuan, Mohd Zairuddin Abdul Aziz, 41, turut melahirkan rasa syukur selepas dia mendapat rumah baharu di Kampung Banggol, Pokok Sena yang diberikan oleh ZPP melalui Skim Inapan Kasih.

Mohd Zairuddin berkata, dia bersama isterinya, Bahirah Ariffin, 43 dan anak tunggal mereka Nur Batrisyia Balqis,13,sebelum ini terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga sejak tiga tahun lalu selepas dia terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur.

Jelasnya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selepas menghidapi kanser lidah menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan hanya bergantung kepada pencen ilat yang diberikan oleh Perkeso setiap bulan.

"Hanya syukur yang boleh kami ungkapkan apabila dipilih menerima bantuan ini dan tidak perlu menumpang lagi.

"Terima Kasih kepada ZPP dan pembayar zakat kerana dengan bantuan ini kami sekeluarga dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa selepas ini," katanya.

Mohd Zairuddin (kiri) bersama isterinya Bahirah dan anak tunggal mereka Nur Batrisyia Balqis gembira selepas menerima replika kunci.
Mohd Zairuddin (kiri) bersama isterinya Bahirah dan anak tunggal mereka Nur Batrisyia Balqis gembira selepas menerima replika kunci.

Sementara itu, Amran ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada JAWHAR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bersama dalam menjayakan Program MyHAUS bagi membina dan membaik pulih rumah bagi golongan asnaf di negeri ini.

Menurutnya,melalui program MyHAUS ini ZPP telah membaik pulih tiga buah rumah dan membina sebuah rumah baharu melalui Skim Inapan Kasih pada sesi 2021-2022.

"ZPP sentiasa mendukung usaha dalam menangani permasalahan pemilikan rumah untuk masyarakat Muslim di Pulau Pinang khususnya golongan asnaf fakir dan miskin.

"Sejajar dengan moto amanah ummah dijaga, hak asnaf dibela, ZPP komited menyediakan rumah mampu milik yang selesa kepada golongan asnaf yang berkelayakan menerusi Skim Skim Inapan Kasih Zakat Pulau Pinang," katanya.