Taman Negara Endau Rompin dapat pengiktirafan AHP

Taman Endau Rompin adalah AHP keempat di Malaysia. - Foto Bernama
Taman Endau Rompin adalah AHP keempat di Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Taman Negara Johor Endau Rompin di Johor berjaya mendapat pengiktirafan sebagai ASEAN Heritage Park (AHP) ke-51, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sambil merakamkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor atas pengiktirafan itu, Takiyuddin berkata, Taman Endau Rompin adalah AHP keempat di Malaysia selepas Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu) pada 1984.

Menurut Takiyuddin, usaha pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan itu bermula sejak 2018 dan diluluskan oleh Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN pada 7 Julai lepas.

"Ini merupakan kejayaan buat Malaysia amnya dan kerajaan negeri Johor khususnya dalam meningkatkan pemuliharaan biodiversiti.

"Pada masa sama, kejayaan itu meningkatkan imej Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai kawasan berkepentingan biodiversiti serantau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin berkata, AHP merupakan program di bawah kerjasama ASEAN untuk menguruskan jaringan kawasan di negara serantau yang mempunyai keunikan, kepelbagaian biologi serta nilai ekologi terpenting dan pengiktirafan diberikan kepada kawasan yang mempunyai nilai-nilai alam semula jadi serta kepelbagaian biodiversiti.

Taman Negara Johor Endau Rompin yang berkeluasan 48,905 hektar dilitupi lebih 90 peratus hutan hujan tropika serta ekosistem masih terpelihara dan membentuk kawasan teras Landskap Hutan Selatan seluas 10,000 kilometer persegi berperanan penting sebagai habitat mamalia besar yang terancam terutama Harimau Malaya.

Kawasan itu kaya dengan kepelbagaian biologi dengan anggaran lebih daripada 1,593 spesies flora yang mewakili 19.2 peratus flora di Semenanjung Malaysia termasuk 38 spesies yang berstatus sangat terancam, 16 spesies terancam dan 26 spesies terdedah kepada ancaman.

Kekayaan fauna pula merangkumi 39 spesies mamalia, burung (253), amfibia dan reptilia (140), ikan air tawar (108) selain rama-rama (274).

Takiyuddin berkata pihaknya menyambut baik sebarang usaha kerajaan negeri untuk mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak AHP atau tapak-tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar), Manusia dan Biosfera (MAB) dan Perkongsian Rangkaian Laluan Burung Hijrah Asia Timur-Australasia agar ia terus terpelihara. - Bernama