Kerajaan perlu tubuh RCI siasat isu PenjanaKerjaya

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Yuneswaran)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Yuneswaran)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Yuneswaran, berkata ia bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan berhubung isu penyelewengan dana tersebut selain mengambil tindakan terhadap pihak terlibat termasuk kementerian, agensi dan individu yang didapati menyalahgunakan wang rakyat.

“Pada bulan lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta susulan kes penyelewengan dana oleh syarikat berstatus sendirian berhad.

“Pada 14 Julai lepas, pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana insentif Program PenjanaKerjaya bernilai lebih RM1.2 juta.

“Apakah tindakan selanjutnya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka direman untuk membantu soal siasat?,” katanya dalam catatan di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan SPRM telah menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama pada 14 Julai lepas.

Yuneswaran menambah, pada 15 Julai lepas, SPRM melaporkan bahawa seramai 37 individu yang dipercayai menggunakan platform PenjanaKerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.

Dalam pada itu, Yuneswaran, berkata, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bertujuan merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan kepada pencari kerja tempatan.

“Kementerian Sumber Manusia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini melalui Penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Negara (National Employment Services), Perkeso,” katanya.

Justeru, beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab perlu mempunyai sikap akauntabiliti serta membentangkan segala laporan di Parlimen selain mengklasifikasikan segala dokumen melibatkan Penjana untuk pengetahuan umum.

“Kes melibatkan rasuah, penyelewengan, ketirisan serta penyalahgunaan kuasa tidak boleh ditolak ansur oleh mana-mana pihak dan wajar diambil tindakan di mahkamah selain diberi hukuman berat,” ujarnya.