Suami isteri direman kes tuntutan palsu RM1.18 juta

Pasangan suami isteri direman lima hari bagi membantu siasatanSPRM berhubung tuntutan palsu dana insentif Penjana Kerjaya membabitkan RM1.18 juta.
Pasangan suami isteri direman lima hari bagi membantu siasatanSPRM berhubung tuntutan palsu dana insentif Penjana Kerjaya membabitkan RM1.18 juta.
A
A
A

MELAKA - Suami isteri direman lima hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) membabitkan RM1.18 juta.

Kedua-dua suspek berusia 54 dan 49 tahun itu ditahan pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 5 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan.

Susulan tangkapan itu, kedua-dua suspek dihadapkan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh yang meluluskan perintah reman selepas menerima permohonan pegawai pendakwa SPRM.

Siasatan terhadap mereka dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu, suspek lelaki memakai baju lokap jingga dan isterinya bertudung biru tiba di Kompleks Mahkamah Melaka jam 9.52 pagi dengan menaiki kenderaan berasingan.

Difahamkan, penahanan mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi Op Hire yang dilancarkan SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

SPRM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, operasi besar-besaran itu dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM negeri dan dijalankan serentak di seluruh negeri.