Kanak-kanak dicampak bapa dari jejambat stabil

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang kritikal berikutan dicampak bapanya dari sebuah jejambat berketinggian 20 meter, di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), 2 Ogos lalu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kanak-kanak warga Myanmar itu telah dibenarkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU) pada Isnin.

"Kanak-kanak lelaki berkenaan telah keluar dari ICU semalam dan kini berada di wad kanak-kanak untuk pemerhatian lanjut.

"Sekarang kita sedang tunggu untuk temu bual kanak-kanak itu bagi ambil keterangan dan selepas itu boleh rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 3 Ogos Sinar Harian melaporkan, hasil temu bual ke atas ibu mangsa, masalah mental dipercayai punca bapa kanak-kanak malang itu tergamak mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum terjatuh di tempat sama.

Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangannya.

Polis dalam kenyataan berkata, kesemua kanak-kanak dan suspek terbabit ditemui berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya di sini.

Kesemua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) untuk orang pelarian milik suspek dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.