Dua kanak-kanak maut dicampak dari jejambat

Lelaki warga Myanmar dan dua kanak-kanak maut selepas jatuh dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada Selasa.
Lelaki warga Myanmar dan dua kanak-kanak maut selepas jatuh dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua kanak-kanak maut manakala seorang lagi parah selepas dicampak seorang lelaki warga Myanmar dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 5.50 pagi, suspek turut terjatuh dari jejambat terbabit.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil mengendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

"Saksi cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2. Lelaki berkenaan turut terjatuh dari jejambat terbabit.

"Semua mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya," katanya satu dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, lelaki dan dua kanak-kanak Myanmar berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak yang parah dibawa ke Hospital Selayang.

Katanya, semua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Kanak-kanak yang maut itu membabitkan seorang perempuan berusia lapan tahun dan lelaki dianggarkan berusia enam hingga tujuh tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, semua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan, G S Baldev Singh di talian 012-480 6062 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222," katanya.