JHEAT kaji tambahan modul anti rasuah dalam kursus kahwin

M Rozi (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan #RasuahBusters di pejabat JHEAT di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.
M Rozi (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan #RasuahBusters di pejabat JHEAT di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedia mengkaji keperluan untuk memasukkan modul integriti dan anti rasuah sebagai nilai tambah dalam kursus pra perkahwinan.

Pesuruhjayanya, M Rozi Bidin berkata, ia sebagai langkah awal bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga supaya tidak mengambil jalan singkat ketika berdepan kesulitan dengan memilih jalan yang salah.

"Modul kursus pra perkahwinan ini kebanyakannya telah diseragamkan di peringkat kerajaan atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Bagaimanapun, mungkin terdapat ruang atau bidang kuasa yang diberi kepada negeri untuk buat pindaan dan seumpamanya. Kita akan teliti dan lihat, jika ada ruang untuk modul itu," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat skuad #RasuahBusters di pejabat JHEAT di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin; Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan dan Pengerusi Rasuah Busters Terengganu, Maznah Salleh.

Dalam pada itu, M Rozi berkata, dengan adanya modul anti rasuah dalam kursus pra perkahwinan, beliau percaya ia dapat membantu menyuntik kesedaran dalam kalangan pasangan supaya tidak mudah terjebak ke dalam kancah jenayah itu.

"Apabila berkahwin, perbelanjaan seseorang semakin meningkat. Daripada seorang anak sehingga bertambah kepada dua, tiga anak.

"Mungkin disebabkan perbelanjaan meningkat, ia memberi ruang ke arah penyalahgunaan kuasa. Namun, perkara ini mungkin boleh dibendung dengan adanya penerangan dan suntikan kesedaran yang dimasukkan dalam kursus pra perkahwinan itu," katanya.