Op Puspakom libatkan JPJ, SPRM
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan pemeriksaan dalam Op Puspakom di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, operasi khas itu akan dilaksanakan secara mengejut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
"Operasi sebegini menunjukkan komitmen tinggi kita bagi memastikan kenderaan yang melalui proses pemeriksaan di Puspakom dalam keadaan yang cukup bersedia untuk digunakan di jalan raya," katanya dalam sidang akhbar di Puspakom Wangsa Maju di sini pada Isnin.
Zailani berkata, pihaknya juga telah mengarahkan pasukan Kejuruteraan Automotif JPJ terlibat dalam pemeriksaan di Puspakom seminggu sekali.
"Pasukan itu akan melihat aspek pemeriksaan kenderaan serta mengikut peraturan tatacara yang sebenar dan sepatutnya," katanya.
Menurutnya, Puspakom juga diminta untuk melaksanakan operasi dalaman secara lebih kerap.
"Mereka ada audit serta tatacara mereka sendiri, perkara ini akan diteliti oleh pasukan Kejuruteraan Automotif JPJ," ujarnya.
Beliau berkata, setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan pemeriksaan berkala (66B Akta Pengangkutan Jalan 1987) di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan tersebut selamat digunakan di jalan raya.
"Operasi khas pada hari ini, kita menumpukan perhatian kepada penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaan di Puspakom berhubung kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan perdagangan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 256 kenderaan yang telah diperiksa dalam operasi khas tersebut.
"Hasil pemeriksaan, sebanyak 140 kenderaan diambil tindakan untuk pemeriksaan semula di Puspakom," katanya.
Zailani berkata, pengusaha kenderaan perdagangan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan termasuk membuat pemeriksaan berkala di Puspakom.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan terutamanya kegagalan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan harian seperti digariskan dalam Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP)," ujarnya.