Lima sekawan ditahan, larikan peti besi rumah kenalan

Zulkifli (tengah) menunjukkan rampasan barang kes hasil tangkapan lima individu yang melarikan peti besi dari rumah seorang warga emas, baru-baru ini.
Zulkifli (tengah) menunjukkan rampasan barang kes hasil tangkapan lima individu yang melarikan peti besi dari rumah seorang warga emas, baru-baru ini.
A
A
A

GERIK - Lima individu termasuk empat wanita ditahan selepas dipercayai melarikan sebuah peti besi milik kenalannya membabitkan kerugian lebih RM37,000 dalam satu kes pecah rumah di sini Rabu lalu.

Suspek berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun itu diberkas pada Khamis dalam tangkapan berasingan di sekitar Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mangsa berusia lingkungan 70 tahun telah membuat laporan berkaitan kehilangan peti besi keselamatan dan mengesyaki telah dicuri oleh kenalannya.

"Hasil siasatan awal, mangsa mengatakan mengenali suspek yang terlibat, kemungkinan mereka pernah berjumpa sebelum ini.

"Suspek juga mengaku mengetahui bahawa terdapat peti besi di rumah mangsa.

"Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengetahui hubungan antara kelima-lima suspek ini dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini pada Isnin.

Jelasnya, hasil tangkapan itu telah membawa kepada penemuan beberapa barangan kes di sekitar Gerik dan Pengkalan Hulu.

Ujarnya, antara rampasan termasuklah wang tunai RM14,500, barangan kemas, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), buku akaun Tabung Haji dan telefon bimbit yang dipercayai dibeli oleh suspek menggunakan wang curi.

"Semakan mendapati, kelima-lima suspek baru pertama kali melakukan jenayah curi ini.

"Mereka masuk ke rumah ketika mangsa tinggal sendirian, membawa keluar peti besi itu sebelum meletakkannya di satu tempat dan bertindak memecahkannya untuk mengambil barang berharga mangsa," katanya.

Zulkifli berkata, kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Hanya seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah," katanya.