Tingkat integriti pelajar dengan Skuad Rasuah Busters

Mohd Faizal bergambar bersama pasukan Rasuah Busters selepas pertemuan dua hala pada Isnin.
Mohd Faizal bergambar bersama pasukan Rasuah Busters selepas pertemuan dua hala pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melihat cadangan menubuhkan Skuad Rasuah Busters di universiti tersebut mampu menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan tahap integriti dalam kalangan pelajar.

Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Governan, Integriti dan Pentadbiran Am UniSZA, Mohd Faizal Ibrahim berkata, penubuhan skuad itu juga sebagai nilai tambah kepada pertubuhan dan gerakan anti rasuah sedia ada.

Menurut beliau, setakat ini UniSZA mempunyai dua entiti yang menggerakkan pendidikan anti rasuah di dalam kampus iaitu Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR).

“Kita melihat Skuad Rasuah Busters boleh memainkan peranan berbeza iaitu mendekati pelajar secara lebih santai dan berkesan dalam menyampaikan isu-isu berkaitan rasuah serta integriti sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

“Sebelum ini, kebiasaannya taklimat diberikan kepada pelajar tentang rasuah kebanyakan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tapi ia begitu teknikal untuk golongan tersebut kerana menyentuh mengenai akta dan undang-undang.

Mohd Faizal (tengah) mendengar taklimat mengenai Rasuah Busters yang disampaikan Nurhayati (empat dari kanan) dalam kunjungan pasukan itu ke UniSZA pada Isnin.
Mohd Faizal (tengah) mendengar taklimat mengenai Rasuah Busters yang disampaikan Nurhayati (empat dari kanan) dalam kunjungan pasukan itu ke UniSZA pada Isnin.

“Skuad Rasuah Busters yang mewakili suara rakyat dapat menyelami pelajar dengan memberikan contoh isu-isu rasuah dan integriti semasa serta kes yang sudah berlaku melibatkan pelajar sama ada di sekolah mahupun IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan pasukan Rasuah Busters sempena Konvoi #RasuahBusters ke Terengganu dalam misi membangunkan #NilaiMoralKarakterBangsa dan menolak budaya rasuah di UniSZA, di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Terengganu, Maznah Salleh, Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan dan Ketua Belia, Media Sosial dan Pemasaran Rasuah Busters, Nik Justin Nik Mohd Ariffin

Nurhayati (empat dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Faizal selepas mengadakan kunjungan ke UniSZA pada Isnin.
Nurhayati (empat dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Faizal selepas mengadakan kunjungan ke UniSZA pada Isnin.

Mohd Faizal berkata, kebanyakan isu melibatkan pelajar di IPT adalah berkaitan moral dan integriti dan UniSZA mengambil tanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni dengan lebih awal bagi menghalang mereka daripada terjerumus dalam perbuatan rasuah.

Beliau turut mencadangkan supaya Skuad Rasuah Busters berperanan sebagai pasukan pemantau dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai badan memastikan perjalanan memilih pemimpin universiti diadakan secara bersih.

"Saya harap kita boleh menjalinkan kerjasama erat dengan Rasuah Busters bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan integriti, moral dan anti rasuah kepada pelajar. UniSZA mempunyai unit integriti tapi ia melibatkan kakitangan UniSZA bukan pelajar," katanya.