Lelaki ditemui maut, sempat tinggal pesan kepada isteri

Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher di belakang sebuah kilang di Dataran Kledang Menglembu, Ipoh pada Isnin.
Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher di belakang sebuah kilang di Dataran Kledang Menglembu, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki sempat meninggalkan pesanan dan ucapan selamat tinggal kepada isterinya sebelum ditemui maut dengan kesan kelar di leher di belakang sebuah kilang di Dataran Kledang Menglembu di sini pada Isnin.

Keadaan mangsa berusia 58 tahun itu disedari orang awam sebelum melaporkannya kepada polis sekitar jam 9.46 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kali terakhir mangsa ada berhubung dengan isterinya melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa memberitahu isterinya untuk mengambil semua wang simpanan di bank untuk kegunaannya bersama anak-anak dan memberi isyarat 'bye' seolah-oleh mahu meninggalkan keluarga.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati, terdapat kesan kelar pada leher mangsa sepanjang 16 sentimeter.

"Turut ditemui pisau pemotong daging di sebelah mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Polis bagaimanapun tidak menemui kesan jenayah lain pada tubuh mangsa, telefon bimbit dan pengenalan diri masih berada bersama mangsa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berhubung penemuan mayat seorang lelaki pada Isnin.
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berhubung penemuan mayat seorang lelaki pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, mangsa yang mempunyai perniagaan kilang pemborong dan pembekal ikan itu mengalami kemurungan kerana perniagaannya mempunyai masalah kewangan.

Katanya, mangsa juga pernah bertindak cuba membunuh diri sekitar tiga tahun lalu, namun tidak berjaya.

"Doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kesan kelar pada leher mangsa. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!