Rezeki bahulu panas sejak 28 tahun lalu

Jamaludin menunjukkan bahulu panas yang siap diisi dalam bekas sebelum diberikan kepada pembelinya.
Jamaludin menunjukkan bahulu panas yang siap diisi dalam bekas sebelum diberikan kepada pembelinya.
A
A
A

ALOR SETAR - Perniagaan bahulu panas diusahakan oleh Jamaludin Osman, 56, sejak 28 tahun lalu di Kompleks Perniagaan Pekan Rabu dekat sini menjadi tumpuan peminat kuih tradisional yang datang mencarinya di kompleks tersebut.

Pelanggan sanggup beratur untuk membelinya kerana kuih bahulu panas yang baru dikeluarkan daripada ketuhar akan dimasukkan ke dalam bekas sebelum diserahkan kepada mereka.

Antara keunikan bahulu yang diusahakan oleh Jamaludin lagi adalah kuihnya masih lagi lembut dan tidak mudah keras walaupun dibiarkan terdedah di luar bekas, selain kekal wangi.

“Saya telah berniaga di kompleks ini sejak 1994 lagi. Alhamdulillah, ia terus menjadi pilihan penggemar kuih bahulu hampir 30 tahun lalu yang datang untuk membelinya di sini.

“Saya belajar sendiri, di samping mendapatkan ilmu membuat kuih bahulu daripada ibu yang masih menggunakan bahan asas seperti adunan tepung, telur, gula dan air.

“Selepas 28 tahun, saya kini memiliki dua buah kedai iaitu satu di dalam Kompleks Perniagaan Pekan Rabu dan satu lagi di luar kompleks ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut Jamaludin, musim perayaan dan cuti sekolah memberikan kegembiraan kepada pengusaha kuih tradisional sepertinya apabila mampu menjual sehingga 20,000 biji sehari kerana mendapat permintaan yang tinggi.

“Apabila tiba musim raya, penghasilan kuih bahulu perlu ditingkatkan sehingga 20,0000 biji bahulu sehari berbanding 6,000 biji bahulu pada hari biasa.

“Kebanyakan pelanggan yang datang memang beli kuih bahulu di sini untuk dijadikan sebahagian juadah dan kuih raya,” ujarnya.

Menurutnya, selain kehadiran pelanggan yang membeli secara ‘walk in’, ada juga yang membuat tempahan melalui telefon.

“Kadang-kadang mereka terpaksa beratur agak panjang kerana bahulu ini selepas siap dimasak barulah diletakkan di dalam bekas.

“Perlu tunggu sementara menunggu giliran bahulu yang ditempah siap,” katanya.