Isu LCS cemar kredibiliti pertahanan negara

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Isu penyelewengan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mencemarkan kredibiliti pertahanan negara.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, perolehan LCS merupakan keperluan kritikal bagi TLDM dan keupayaan tempur mestilah selari dengan kemajuan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Menurutnya, siasatan menyeluruh dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat dalam skandal tersebut.

"Pendedahan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menunjukkan bahawa pembayaran oleh kerajaan sebanyak RM6.083 bilion telah hilang tanpa sebarang hasil. Sehingga hari ini, tiada satu pun daripada enam kapal tersebut diserahkan kepada TLDM.

"Lebih malang, pandangan TLDM selaku ‘end user’ tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam pelaksanaan projek ketika itu.

"Sepuluh surat teguran, surat tidak puas hati dan surat memaklumkan pendirian TLDM oleh mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar telah dipandang sepi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh sebelum ini mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

Dalam pada itu, Khairil Nizam menyeru kepada semua pihak untuk bersama memberi sokongan terhadap langkah yang diambil pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pas yakin SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh serta mempunyai bukti yang cukup untuk pertuduhan individu ataupun syarikat yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab serta merugikan wang negara.

"Pas menyeru kepada kerajaan perlu tegas dan pastikan mereka yang telah merobek maruah pertahanan negara segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.