Diupah RM1,500 bawa dadah

Pasangan suami isteri yang ditahan di Morib pada 29 Julai lalu dengan rampasan dadah jenis syabu. - Foto Maritim Selangor
Pasangan suami isteri yang ditahan di Morib pada 29 Julai lalu dengan rampasan dadah jenis syabu. - Foto Maritim Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan suami isteri yang ditahan di Morib, Kuala Langat pada 29 Julai kerana cuba menyeludup dadah ke Indonesia dipercayai menerima upah RM1,500 oleh sindiket.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, dipercayai bungkusan mengandungi dadah seberat 15.88 kilogram (kg) itu diambil suspek di Taman Suntex Batu 9 Cheras.

Siva Kumar
Siva Kumar

"Suspek lelaki bekerja sebagai pemandu pelancong dan akibat kekangan kewangan, dia mengambil upah untuk bawa dadah sebagai pendapatan sampingan.

"Siasatan awal suspek aktif sejak awal tahun ini dengan mengambil upah bagi setiap penghantaran sebanyak RM1,500," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket terlibat.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan pasangan berusia 46 dan 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang pada 29 Julai hasil risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dadah dalam bungkusan teh Cina bernilai RM670,000 itu dipercayai sedang dipindahkan ke bot pancung yang akan menuju ke Indonesia menerusi perairan Morib.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.