Maritim patah cubaan seludup 15kg syabu

Dua warga tempatan ditahan ketika hendak memunggah dadah ke dalam sebuah bot pancong di perairan Morib. (Gambar kecil: Siva Kumar)
Dua warga tempatan ditahan ketika hendak memunggah dadah ke dalam sebuah bot pancong di perairan Morib. (Gambar kecil: Siva Kumar)
A
A
A

KUALA LANGAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 15 kilogram (kg) syabu oleh dua warga tempatan menggunakan sebuah bot pancung di sekitar perairan Morib di sini, 29 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, hasil risikan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dan wanita tempatan sedang leka memunggah bungkusan teh mengandungi dadah.

"Pasukan operasi telah menemukan sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina berwarna hijau di dalam kenderaan digunakan pasangan tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88kg dianggarkan bernilai RM670,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Siva Kumar berkata, suspek yang berusia 46 dan 44 tahun ditahan di Ibu Pejabat Maritim Selangor di Klang sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah.

"Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.