Lelaki ditahan pamer kulit harimau

Sekeping kulit disyaki Harimau Malaya dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu. - Foto Perhilitan (Gambar kecil: Abdul Kadir)
Sekeping kulit disyaki Harimau Malaya dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu. - Foto Perhilitan (Gambar kecil: Abdul Kadir)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan pada Isnin lalu kerana menyimpan dan mempamer sekeping kulit disyaki Harimau Malaya atau nama saintifiknya panthera tigris jacksoni di sebuah rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, rumah lelaki itu diserbu pihaknya dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia pada jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, kulit harimau dianggar bernilai RM100,000 itu dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

"Siasatan awal mendapati pemiliknya gagal mempamerkan dokumen penyimpanan daripada Jabatan Perhilitan bagi menyimpan bahagian hidupan liar terbabit.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti spesies terbabit selain sumber ia diperoleh," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek berusia 47 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Pada 30 Julai lalu, sempena Hari Harimau Sedunia yang disambut setiap tahun pada 29 Julai, Sinar Harian melaporkan, statistik dikeluarkan Perhilitan pada tahun lalu menunjukkan jumlah Harimau Malaya kurang daripada 200 ekor.

Jumlah itu dilaporkan terus menyusut apabila data terbaru Perhilitan menunjukkan jumlah spesies hidupan liar itu kini kurang daripada 150 ekor pada tahun ini.

Abdul Kadir berkata, harimau dijangka pupus di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tiada tindakan drastik diambil bagi memastikan kestabilan ekosistem haiwan liar ini.