Ras Adiba lancar album lagu, buku kumpulan puisi

Ras Adiba tandatangani album lagu dan buku kumpulan puisi bertajuk ‘Sebatang Pohon Tua’.
Ras Adiba tandatangani album lagu dan buku kumpulan puisi bertajuk ‘Sebatang Pohon Tua’.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Ras Adiba Radzi melancarkan album lagu dan buku kumpulan puisi bertajuk ‘Sebatang Pohon Tua’ terbitan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) pada 22 Julai lalu.

Ujar beliau, kedua-dua penghasilan karya ciptaan Datuk Dr Radzuan Ibrahim atau nama penanya Wanrazuhar yang mengetengahkan lagu-lagu puisi pada masa kini amat dialu-alukan bagi memastikan genre tersebut berkembang kembali seperti era kegemilangan zaman lalu.

Katanya, penciptaan lagu-lagu puisi diharap akan kekal terus mengikut keadaan semasa supaya akan menarik minat golongan muda mudi untuk menghayatinya.

“Anak muda sekarang lebih suka mendengar dan menghayati lagu-lagu pop dan moden sahaja. Maka tanggungjawab kitalah bagi memastikan kelangsungan lagu puisi, gurindam, seloka, syair, nazam dan sebagainya.

“Usaha yang dilakukan Pemuisi menerbitkan album lagu puisi dan buku kumpulan puisi ini seharusnya diberi pujian.

“Puisi akan membentuk jiwa insan yang luhur, kehidupan yang harmoni dan menyatukan,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancarannya di sebuah hotel pada 22 Julai lalu.

Album dan buku kumpulan puisi bertajuk ‘Sebatang Pohon Tua’.
Album dan buku kumpulan puisi bertajuk ‘Sebatang Pohon Tua’.

Dalam pada itu, Penaung Pemuisi, Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman berkata, penghasilan karya-karya berkenaan telah berjaya meningkatkan penghayatan berganda dalam puisi serta muzik.

"Kebolehan Wanrazuhar dalam penciptaan puisi dan lagu-lagu puisi merupakan kebolehan istimewa anugerah ilahi seperti kata Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh ‘kepekaan bahasa harus diadunkan dan dijalinkan dengan kepekaan muzik dan iramanya’.

“Pada suatu titik penciptaan penggubah harus memasang bakat yang sarat dengan kesedaraan bahasa beserta muziknya.

“Dan ciptaan ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana beliau telah berusaha mencantumkan bunyi kata-kata dan bahasa pilihan untuk menghasilkan irama yang sesuai dan sepadan," menurutnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Timbalan Presiden Pemuisi, Profesor Madya Dr Norhayati Ab Rahman.

Majlis tersebut dihadiri 50 orang yang terdiri daripada ahli dan kerabat Pemuisi, sasterawan dan peminat puisi.