Pengiktirafan UEC: Kejayaan pertama DAP

Suraya
Suraya
A
A
A
PENDANG - Keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) baru-baru ini tidak mengejutkan di zaman Malaysia Baharu.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata sememangnya itulah yang selama ini dihajati oleh pihak tertentu yang hanya bergelar 'warganegara Malaysia' tetapi lebih mendaulatkan 'negara luar'.

Katanya, nasibnya agak berbeza bagi pelajar Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Biarpun hampir sedekad telah memohon pengiktirafan pengecualian menduduki CLP, namun tiada sebarang respon bagi permohonan mereka.

"Tapi untuk UEC, cepat pula diberi pengiktirafan oleh Kerajaan PH dan mungkin inilah nasib anak bangsa Melayu Islam di zaman Malaysia Baharu ini," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suraya berkata, biarpun ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) itu tiada kena mengena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), agak menghairankan apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching kelihatan begitu teruja dan gembira dengan pengumuman yang tiada kaitan dengan kementeriannya itu.

"Mungkin juga Timbalan Menteri Pendidikan itu gembira kerana pengiktirafan tersebut merupakan kejayaan pertama DAP terhadap UEC sementara menunggu pengiktirafan penuh daripada KPM sendiri sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU14 lalu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pengiktirafan UEC: Rais bidas tindakan Peguam Negara

Tambah Suraya, sebagaimana maklum, UEC merupakan sijil yang diwujudkan oleh persatuan orang Cina, Dong Jiao Zong sejak 1975 di sekolah-sekolah Cina swasta.
Artikel Berkaitan:


"Sekolah-sekolah ini menggunakan Bahasa Cina dan Inggeris sebagai bahasa pengantar dan tidak menggunakan silibus pelajaran yang ditetapkan KPM.

"Menurut pakar Perlembagaan Negara, keengganan sekolah-sekolah Cina swasta ini menggunakan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar adalah bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Katanya, hakikat ini adalah merujuk kepada kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia 1982 di mana para panel hakim Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan universiti berkenaan untuk menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

"Selain itu, UEC tidak diiktiraf Kerajaan Malaysia sebelum ini ekoran ia difahamkan mengguna pakai silibus yang diambil daripada negara Taiwan dan China, namun enggan menggunakan silibus yang disediakan Kerajaan Malaysia.

"Justeru, adalah dikhuatiri kandungan yang diadaptasi dari negara luar berkenaan tidak bertepatan dengan fakta sebenar, dimanipulasi dan tidak sesuai untuk diterapkan nilai pendidikannya di negara ini," jelasnya.

Menurut Suraya, walaupun diberikan seberapa banyak fakta atau hujah, ia mungkin tidak akan memberi sebarang kesan kepada Kerajaan PH memandangkan pengiktirafan UEC merupakan satu objektif besar mereka sebagaimana yang terkandung di dalam manifesto PRU14.

"Lagi pula Dr Maszlee sendiri dalam satu kenyataannya pada 12 Julai 2018 telah mengesahkan bahawa pihaknya tidak akan 'flip flop' untuk mengiktiraf UEC, sekali gus membuka ruang kepada lulusan sijil itu memasuki universiti awam.

"Kita hanya perlu menunggu detik tiba saatnya apabila Kerajaan PH menyanggah Perlembagaan Persekutuan. Itulah warna sebenar PH yang kononnya memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan hak dan keistimewaan Islam serta bangsa Melayu di negara ini," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN Kajian menyeluruh pengiktirafan UEC Julai ini