[VIDEO] Kerajaan digesa ambil serius nasib penghantar makanan: AMK

Adam Adli (tiga dari kanan) dan Bryan Ng (lima dari kanan) bersama penghantar p-hailing ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Jumaat.
Adam Adli (tiga dari kanan) dan Bryan Ng (lima dari kanan) bersama penghantar p-hailing ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan diminta mengambil serius isu kebajikan penghantar makanan p-hailing dan tidak hanya membiarkan sebarang keputusan dibuat oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim berkata, pekerjaan sebagai penghantar makanan tidak diberikan hak atau pendapatan yang jelas selain tidak dilindungi oleh undang-undang.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah kepada mereka apabila syarikat penyedia perkhidmatan mempunyai hak sepenuhnya terhadap kadar bayaran.

"Perkara ini perlu dilihat sama ada mereka ditafsirkan sebagai pekerja atau tidak walaupun tertakluk amalan master and servant’s secara praktik.

"Hak setimpal seperti waktu pekerjaan, pendapatan dan sebagainya perlu diteliti sebab kalau kita tengok dapatan yang diterbitkan, ramai orang muda yang lebih berminat bekerja dalam sektor p-hailing ini berbanding sambung pengajian.

"Ia sudah menjadi satu sektor ekonomi yang besar dan perlu diuruskan dengan baik bukan dibiarkan kepada syarikat penyedia perkhidmatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat.

Penghantar makanan Foodpanda dan Grab Food pada Jumaat telah melancarkan piket atau boikot tidak akan beroperasi selama 24 jam sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Adam Adli berkata, AMK telah mewujudkan satu pasukan untuk meneliti nasib golongan penghantar makanan selain merancang penyelesaian yang boleh dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Strategik AMK, Bryan Ng Yih Miin mencadangkan agar Akta Pekerja 1955 dipinda bagi memastikan hak penghantar makanan dijaga.

"Jika tidak ada undang-undang untuk mereka, ia akan bermakna syarikat penyedia perkhidmatan ini mempunyai kawalan penuh ke atas penghantar makanan. Jadi, mereka boleh melakukan sesuka hati mereka.

"Antara perkara yang diminta oleh penghantar makanan adalah mengenai pendapatan yang menurun, keselamatan sosial seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans," katanya.