Syor kematian dalam tahanan disiasat prosiding inkues

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan kesemua kematian dalam tahanan perlu disiasat secara terbuka dan menyeluruh melalui prosiding inkues.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima aduan mengenai kes kematian Kim Shih Keat, 36, yang ditemui mati di Penjara Kluang, Johor pada 28 Jun lepas.

“Bertindak di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], kita menjalankan siasatan dan merekodkan maklumat terperinci daripada keluarga mendiang selain membuat lawatan ke Penjara Kluang pada 2 Ogos lepas untuk mengambil keterangan lanjut daripada ahli penjara serta rakan sel di penjara tersebut.

“Kita memandang serius isu kematian dalam tahanan dan sering mengadakan perbincangan dengan kesemua pihak berkepentingan untuk merangka prosedur operasi standard selain penggubalan atau pindaan undang-undang yang perlu untuk mengatasi isu berkenaan,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Justeru itu, Suhakam mencadangkan kepentingan penubuhan Unit Kesihatan Dalam Tahanan Polis yang berperanan untuk memantau dan menguruskan perkhidmatan kesihatan di pusat tahanan polis.

“Ini bagi mengurangkan risiko kejadian kematian dalam tahanan. Inisiatif tersebut dimulakan oleh Suhakam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, Suhakam telah menerbitkan laporan bertajuk ‘Kematian Dalam Tahanan Polis: Satu Kaji Selidik Mengenai Keadaan Lokap dan Faktor-faktor Penyumbang kepada Kematian’ dan turut menerbitkan laporan bertajuk ‘Hak Kepada Kesihatan di dalam Penjara: Laporan dan Hasil Kaji Selidik di Malaysia’.

“Kedua-dua laporan ini menekankan akan kepentingan untuk memantau serta menguruskan kesihatan tahanan semasa mereka berada dalam tahanan,” katanya.

Dalam pada itu, Suhakam berkata, isu kematian dalam tahanan kekal menjadi fokus utama selain sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa mencari jalan dan cara untuk mengurangkan risiko kematian dalam tahanan.