Scammer tipu tawaran kerja, jual barang tidak wujud tumpas

Wan Kamarul Azran (dua, kiri) menunjukkan antara barangan dan peralatan yang dirampas daripada sindiket penipuan dalam talian pada sidang media di IPD Sepang pada Khamis.
Wan Kamarul Azran (dua, kiri) menunjukkan antara barangan dan peralatan yang dirampas daripada sindiket penipuan dalam talian pada sidang media di IPD Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Tawaran komisen lumayan dan menjual barangan tidak wujud antara modes operandi sindiket penipuan dalam talian atau scammer yang dipercayai bergiat aktif di sebuah apartmen di Cyberjaya di sini sejak Jun lalu.

Kegiatan yang berselindung di sebalik jualan barangan menerusi dalam talian itu telah menipu ramai mangsa dan setakat ini 31 kes laporan polis dengan anggaran kerugian sebanyak RM843,996.

Wan Kamarul Azran
Wan Kamarul Azran

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sindiket yang didalangi warga tempatan serta warga asing itu berjaya ditumpaskan menerusi serbuan di sebuah unit apartment di Cyberjaya di sini pada Selasa.

"Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Sepang itu berjaya memberkas lima individu dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

"Antara yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita tempatan berumur antara 17 tahun hingga 32 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Khamis.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati suspek menawarkan pekerjaan kepada mangsa.

"Mangsa kemudiannya perlu menjual barangan kepada pelanggan iaitu mangsa seterusnya, dan sindiket menjanjikan komisen sebanyak 10 peratus berdasarkan nilai barangan yang dijual.

"Bagaimanapun, berdasarkan laporan diterima mendapati mangsa yang direkrut sebagai pekerja untuk menjual barangan tidak dibayar komisen yang dijanjikan, selain itu pelanggan iaitu mangsa yang membeli barangan yang diiklankan turut tidak menerima barangan selepas wang dibayar," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati terdapat 31 laporan polis yang telah dibuat berdasarkan kegiatan sindiket ini.

"Sindiket ini dipercayai melibatkan ramai mangsa terdiri daripada mereka yang diperdaya dengan tawaran kerja dan mereka yang membeli barangan yang diiklankan.

"Laporan yang diterima melibatkan seluruh Malaysia, dan kita harap mana-mana individu yang menjadi mangsa sindiket ini dapat tampil untuk membuat laporan polis," katanya.

Tambahnya, serbuan yang dijalankan turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket.

"Antara yang dirampas melibatkan lima buah komputer riba pelbagai jenama dan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

"Kesemua suspek yang ditahan kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.