Imigresen gempur pusat hiburan, 44 GRO ditahan

Antara wanita disyaki GRO ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor pada Khamis.
Antara wanita disyaki GRO ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 44 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 150 orang telah diperiksa dan 50 daripadanya telah ditahan dalam serbuan itu.

"Individu yang ditahan pada jam 1 pagi itu membabitkan 43 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Laos berusia 24 hingga 35 tahun.

"Kita juga menahan dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Pakistan serta tiga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang disyaki pekerja dan penjaga premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa wanita warga asing cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh pegawai imigresen.

"Ada pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat, namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan," ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi yang dijalankan adalah GRO itu akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.

"Bayaran yang dikenakan adalah RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga.

"Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada GRO, bayaran yang dikenakan adalah RM1,000 ke RM1,500 satu malam," katanya.

Menurutnya, semakan awal mendapati wanita berkenaan memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.

"Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan itu telah disalah guna," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut merampas 50 pasport pelbagai warganegara.

"Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

"Kesemua mereka yang ditahan disyaki mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen," ujarnya.