Laporan terkini Ketua Audit Negara dedah kelemahan projek kerajaan

Laporan Sinar Harian pada 3 Ogos.
Laporan Sinar Harian pada 3 Ogos.
A
A
A

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri yang diterbitkan pada Rabu mendedahkan beberapa kelemahan berlaku dalam pelaksanaan projek dan program oleh kerajaan.

Antara yang disentuh oleh laporan tersebut adalah kelemahan dalam pelaksanaan agihan bantuan kerajaan, pengurusan bencana, pembinaan sekolah dan termasuk projek naik taraf serta baik pulih bangunan Parlimen.

Menurut laporan tersebut, pencapaian projek naik taraf dan baik pulih bangunan Parlimen yang sepatutnya mengambil tempoh enam tahun mengalami kelewatan siap hingga 14 tahun.

Katanya, pengukuran keberhasilan keseluruhan projek yang bermula pada 2011 itu, belum dapat dinilai sepenuhnya kerana fasa 2C(ii) melibatkan skop kerja naik taraf dan baik pulih blok menara serta penyediaan tempat letak kenderaan bertingkat yang masih dalam fasa pelaksanaan.

Laporan itu memaklumkan semakan audit mendapati perubahan skop kerja yang banyak atas permintaan pelanggan dan teknikal turut menyumbang kepada peningkatan kos siling berjumlah RM106.10 juta (20.4 peratus) daripada RM520 juta kepada RM626.10 juta.

Prestasi kewangan projek juga menunjukkan perbelanjaan hingga 31 Disember 2021 adalah berjumlah RM468.45 juta (74.8 peratus) berbanding peruntukan terkini berjumlah RM626.10 juta.

Dalam pada itu, laporan itu turut menyatakan pengurusan projek pembinaan sekolah didapati kurang cekap dan berkesan kerana berlakunya kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan serta pelaksanaan projek oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), perunding dan kontraktor.

Dapatan itu berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baharu dalam tempoh 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, LKAN terkini itu turut mendapati pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektif ditetapkan dengan mengambil kira skop dan sampel audit meliputi enam daripada 23 atau 26.1 peratus projek mitigasi banjir di bawah Pelan Induk dan lokasi hotspot (titik panas) banjir kilat.

Menurutnya, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekali gus menyebabkan masalah banjir kilat belum dapat diatasi.

Susulan daripada itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu memaklumkan pihaknya akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, antara saksi akan dipanggil adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Beliau bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih tidak menetapkan sebarang tarikh untuk memanggil saksi terbabit.