Usaha banteras pemerdagangan manusia perlu penglibatan rakyat

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

PETALING JAYA - Usaha membanteras aktiviti pemerdagangan manusia bukan sahaja terletak dibahu kerajaan, malah ia turut memerlukan penglibatan rakyat kata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan yang dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk udara, laut dan darat, perlu diberikan perhatian serius semua pihak, memandangkan isu keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.

"Untuk memastikan kejayaan negara ini, keselamatan adalah yang paling penting untuk kita bersama-sama ambil perhatian. Kalau itu berlaku, mudahlah kerana imej negara (akan bertambah baik) di mana orang luar boleh datang sebagai pelabur, pelawat dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan ‘Aviation Against Trafficking In Persons (AATIP-C) 2022’ yang diadakan bersempena Hari Anti Pemerdagangan Orang Sedunia 2022 di sini pada Rabu.

Selain itu, Hamzah berkata, kerajaan juga akan terus memperketatkan kawalan sempadan di semua pintu masuk negara termasuk di ‘jalan-jalan tikus’, selain akan mempergiatkan lagi program meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kegiatan pemerdagangan manusia.

Sementara itu dalam ucapannya, Hamzah berkata, mengikut stastistik Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dari 2015 sehingga Jun tahun ini sejumlah 1,972 kes penyeludupan telah dilaporkan manakala 2,902 orang telah ditahan.

"Dalam usaha memerangi pemerdaganan orang di Malaysia, kerajaan telah mengadakan satu undang-undang khas iaitu Akta Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, yang telah dikuatkuasakan pada 2008 dan baru-baru ini dipinda dengan pindaan ketiga berkuat kuasa pada awal 2022,” katanya. - Bernama