Kajian tragedi banjir Baling dibentang esok

Takiyuddin (tengah) bergambar dengan warga pendidik dan murid SK Islah, Kota Bharu pada Rabu.
Takiyuddin (tengah) bergambar dengan warga pendidik dan murid SK Islah, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kajian berhubung tragedi banjir dan kepala air di Baling, Kedah yang mengorbankan tiga nyawa pada Julai lalu sudah siap serta hasilnya akan dibentangkan pada Khamis.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kajian dan siasatan tersebut diketuai KeTSA dan disertai Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), beberapa kementerian lain serta pakar-pakar bidang geologi.

“Kajian dijalankan dengan mereka pergi sendiri ke lokasi bencana dan menggunakan dron serta helikopter.

“Petang ini, saya akan mendengar taklimat oleh jawatankuasa khas yang menyiasat peristiwa banjir dan kepala air yang berlaku di Kampung Iboi di Kupang, Baling, Kedah. Esok, saya akan umumkan hasil daripada siasatan ini,” katanya ketika di temui pada Penutup Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan itu siap sebagaimana yang dijanjikan kerajaan sebelum 4 Ogos.

“Terkini saya dimaklumkan melalui telefon, hari ini pun masih banjir lagi di Baling, Kedah.

"Kerajaan terus melakukan pemantauan di negeri itu bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Menurut beliau, bencana termasuk terbaharu yang berlaku di Johor Bharu pada Selasa lalu adalah fenomena alam dan kerajaan akan menyelesaikan punca perlakunya kejadian berkenaan.

“Bagi mengelakkan berlaku perubahan iklim yang serius, KeTSA antaranya melancarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun, bermakna dalam setahun perlu tanam 20 juta pokok.

“Jadi, pergi ke mana-mana pun saya akan bawa program penanaman pokok supaya mencapai 50 peratus tanaman pelitup bumi sekali gus menghentikan atau minimumkan kejadian kepala air atau banjir kilat,” katanya.

Dalam kejadian banjir di Baling, Kedah pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Pada Rabu, seramai 41 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di lima buah kampung di Baling masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi.