Laporan kajian banjir di Baling siap 4 Ogos ini

Banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Baling pada 4 Julai lalu. Gambar kecil: Takiyuddin
Banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Baling pada 4 Julai lalu. Gambar kecil: Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Laporan terperinci berkaitan kejadian banjir yang berlaku di Baling, Kedah akan siap sepenuhnya pada 4 Ogos ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kajian yang diketuai pihaknya itu turut dibantu oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), kerajaan negeri serta beberapa kementerian lain.

"Laporan ini sudah memasuki proses penulisan terakhir bagi mencari punca dan cadangan untuk mengatasi masalah tersebut," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu ke 55 di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kajian itu turut memberikan penekanan kepada kolam takungan yang terdapat di kawasan tersebut kerana projek tanaman musang king memerlukan air.

Beliau berkata, KeTSA tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, sehingga kini 5,000 pokok telah ditanam dalam kawasan seluas 52 hektar.