Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas

Pegawai KPDNHEP menunjukkan lapan tangki minyak diesel bersubsidi yang dirampas pada Rabu.
Pegawai KPDNHEP menunjukkan lapan tangki minyak diesel bersubsidi yang dirampas pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang dalam satu serbuan di sebuah premis stesen minyak di Indera Mahkota pada awal pagi Selasa.

Mark
Mark

Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan dua individu yang merupakan pemandu lori dan kelindan di lokasi kejadian.

Menurut, kedua-dua lelaki terbabit merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan umur 51 dan 21 tahun.

“Kita menjumpai lapan tangki petak yang dianggarkan berkapasiti 1,000 liter setiap satu dan telah diubah suai di dalam lori muatan tujuh tan.

“Malah, sebuah pam minyak yang digunakan bagi tujuan memindahkan diesel dari 'steen' minyak ke tangki petak berkenaan.

“Susulan penahanan itu, KPDNHEP Pahang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel di kawasan Indera Mahkota,” ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan, kedua-kedua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya merupakan warganegara Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mendapati minyak diseleweng adalah untuk dibawa keluar dari negeri ini.

“Kesemua nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM59,000. Pemilik boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mark memaklumkan KPDNHEP Pahang telah mengambil tindakan proaktif dengan menggerakkan 127 anggota penguat kuasa melibatkan enam pejabat cawangan di seluruh negeri Pahang.

Jelasnya, anggota ini digerakkan bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti membabitkan penggunaan petrol dan diesel.

“Kita memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya petrol dan diesel. Penyelewengan yang berlaku tersebut merugikan pihak kerajaan sekali gus menggagalkan usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang disasarkan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya lagi, pihaknya mengambil tindakan proaktif dengan menguatkuasakan perundangan berdasarkan polisi sedia ada di mana kesalahan berat seperti penjualan barang kawalan bersubsidi akan dikenakan tindakan tegas

“Sepanjang tempoh 1 Januari lalu sehingga setakat ini, KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 39,583 premis yang melibatkan pelbagai peringkat perniagaan.

Tambahnya, daripada jumlah itu sebanyak 455 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM189,960. dan kompaun sebanyak RM297,300.

“Pihak kementerian juga menyeru agar pengguna untuk turut sama membantu menjadi mata dan telinga dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan,” katanya.