Akta Lompat Parti: Pinda segera Undang-Undang Tubuh Negeri

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap negeri perlu meminda perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing bagi memasukkan pindaan perkara berkaitan Akta Anti Lompat Parti.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tanpa pindaan perlembagaan negeri, undang-undang lompat parti tidak boleh dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, jika pindaan peringkat negeri gagal dilakukan, dikhuatiri berlaku ketidakseimbangan perlembagaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Jika Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti ini diwartakan, negeri juga perlu melakukan pindaan pada Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-359 bertajuk Akta Lompat Parti: Tamat Riwayat ‘Katak Politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahdlina Sidek manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak selaku moderator.

Nik Ahmad Kamal berkata, setiap negeri perlu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk memasukkan pindaan seperti perkara 48 dan 49 A Perlembagaan Persekutuan, barulah undang-undang itu boleh dilaksanakan di peringkat DUN.

“Walaupun empat negeri ada enakmen undang-undang anti lompat parti, tetapi enakmen tersebut pada pandangan saya masih tidak boleh dilaksanakan di negeri tersebut kerana Undang-Undang Tubuh Negeri belum dipinda lagi,” katanya.

Jelasnya, jika RUU berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti itu diwartakan ia memberi harapan kepada pengundi baharu.

“Pastinya mereka yang mengundi pertama kali akan berasa yakin bahawa wakil rakyat yang mereka pilih tidak akan melompat parti dan ia juga akan mempengaruhi orang untuk keluar mengundi tanpa rasa sangsi seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut apakah dengan adanya akta berkenaan dapat membendung sepenuhnya wakil rakyat dari melompat parti, beliau berkata, berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2007, tidak nampak perbezaan jelas negara yang mempunyai undang-undang lompat parti dan negara yang tidak mempunyai undang-undang itu, jumlah mereka yang lompat parti berkurangan.

“Kita tidak pasti ada kajian baharu atau tidak, jadi apa yang kita harapkan ialah walaupun undang-undang yang ada hanya menumpukan kepada ahli Parlimen individu dan membenarkan lompat parti secara blok, tapi saya pasti bahawa lompat parti secara blok ini amat jarang berlaku kecuali ada isu-isu yang besar seperti Langkah Sheraton sebelum ini,” katanya

Ujarnya lagi, secara umumnya undang-undang berkenaan yang dapat menghalang ahli Parlimen lompat parti adalah perkara baik dan dapat memberikan kestabilan kepada sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.