Kronologi kes SRC Najib

Najib -Foto Bernama
A
A

4 JULAI 2018 - Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 OGOS 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

10 OGOS 2018 - Hakim Mohd Nazlan menetapkan 33 hari bermula 12 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan kes SRC Najib.

15 JANUARI 2019 - Najib menerusi firma guamannya, Messrs Shafee & Co telah menulis surat bertarikh 15 Januari kepada Mahkamah Tinggi memohon perbicaraan yang dijadualkan 12 Februari dilapangkan sementara menunggu tiga rayuan interlokutorinya di Mahkamah Rayuan.

17 JANUARI 2019 - Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Manoj Kurup dalam surat bertarikh 17 Januari 2019 yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membantah permohonan pihak pembelaan menangguhkan perbicaraan.

11 FEBRUARI 2019 - Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga rayuannya berhubung keputusan pendakwa raya menarik balik sijil perpindahan tujuh pertuduhan terhadapnya, selesai.

14 FEBRUARI 2019 - Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar empat rayuan Najib bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan interlokutori Najib mengenai tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC.

28 MAC 2019 - Mahkamah Tinggi menetapkan 3 April, jam 2 petang bagi perbicaraan kes SRC Najib.