Ketua jururawat rugi RM16,000 ditipu Macau Scam

Ketua jururawat rugi RM16,000 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN. Foto hiasan
Ketua jururawat rugi RM16,000 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN. Foto hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Ketua jururawat di sebuah hospital di sini hilang wang simpanan RM16,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berusia 47 tahun itu menerima panggilan mengatakan kononnya dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM200,000.

Menurutnya, mangsa telah menafikan perkara itu, namun panggilan berkenaan disambung kepada individu yang mengaku polis, kononnya untuk mangsa membuat laporan.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang yang ada di dua akaun banknya masing-masing RM10,000 dan RM6,000 ke dalam satu akaun bank sindiket.

"Pemindahan itu kononnya bagi memastikan wang simpanan mangsa tidak terlibat dalam mana-mana kes pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, wanita itu mula menyedari bahawa dirinya tertipu apabila sindiket mendesaknya untuk membuat semakan dan mendedahkan maklumat perbankan.

Katanya, mangsa yang tidak mahu memberikan maklumat telah bertindak memutuskan panggilan dan segera membuat laporan polis kerana merasa dirinya tertipu.

"Orang ramai sekali lagi diingatkan jangan mudah percaya kepada panggilan telefon yang diterima dari mana-mana nombor telefon yang tidak dikenali.

"Paling penting, tidak melayan panggilan tersebut bagi mengelak terpedaya dengan sindiket Macau Scam ini," katanya.