Kisah Rohana, ibu angkat wajar dicontohi

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Salim)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Salim)
A
A
A

GEORGETOWN - Kisah seorang wanita berbangsa Cina dengan anak angkatnya beragama Islam yang ditonjolkan dalam laporan media baru-baru ini telah berjaya menonjolkan sifat mulia yang wajar diteladani oleh setiap orang.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kisah dua wanita tersebut membuktikan bahawa perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan baik dan mesra antara sesama manusia.

Menurutnya, hubungan yang begitu mesra di antara ibu dan anak angkat berbeza agama itu memaparkan satu situasi unik dan amat bermakna untuk dijadikan bahan renungan semua pihak sebagai menghayati semangat Keluarga Malaysia.

"Saya amat tersentuh membaca berita mengenai seorang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menangis kerana terpaksa berpisah dengan ibu angkat yang memeliharanya sejak kecil. Lebih memilukan hati apabila membaca pesanan ibu angkat itu kepada mahasiswa tersebut supaya sentiasa menjaga akhlak dan rajin belajar.

"Pada pandangan saya, hubungan itu membuktikan perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan baik dan mesra antara sesama manusia. Lebih mengagumkan, wanita berbangsa Cina itu membesarkan anak angkatnya tanpa menukarkan agama.

"Selain itu, dia telah mendidik secara Islam apabila memastikan anak angkatnya itu menunaikan solat dan puasa di bulan Ramadan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, agama Islam memang menghendaki hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dikekalkan walaupun berbeza agama.

"Agama Islam menghendaki hubungan kekeluargaan mesti diteruskan dalam apa jua keadaan dan tidak harus diputuskan atas dasar berlainan agama. Ini lah yang pernah saya sarankan mengenai kes ibu dan anak-anak mualaf yang menjadi perhatian umum di Malaysia beberapa bulan lalu.

"Demi mengekalkan hubungan yang baik dan mesra antara seorang anak dengan ibu bapa, maka Islam mewajibkan anak-anak mentaati ibu bapa selagi tidak disuruh syirik kepada ALLAH dan melakukan maksiat," katanya.

Sebelum ini, tular bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan atau dipanggil ‘laoshi’ sebak apabila anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, akan melanjutkan pengajian ke menara gading.

Hoi Lan turut berpesan kepada Rohana supya menjaga nilai murni dan jangan tinggal solat.

Kisah Rohana tular di media sosial sebelum ini susulan dia telah dibesarkan oleh ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan oleh ibunya warga Indonesia.

Gadis itu bagaimanapun gagal menyambung pelajaran ke universiti kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri.

Kesulitan dihadapi dua beranak itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.