Lima kertas siasatan penipuan haji furada sudah lengkap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lima kertas siasatan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan telah lengkap akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan oleh Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan / Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamed Usuf Jan Mohamad.

"Mohamed Usuf akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, setakat ini, polis menerima 132 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.67 juta.

Menurutnya, tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada.

"Kita menerima 132 laporan polis di 11 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit.

"Ia membabitkan 52 laporan di Kuala Lumpur, 33 laporan di Selangor, 18 laporan di Pahang, tujuh di Johor, enam laporan di Perak dan Kelantan, tiga laporan di Melaka dan Kedah, dua di Terengganu dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka daripada 132 laporan polis dibuat mangsa.

"Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.3 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM966,100).

"Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM280,000; Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,000); Johor (RM125,000); Terengganu (RM76,000); Kedah (RM48,000); Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000)," katanya.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.