Lima suspek tipu pakej haji direman tiga hari

Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima individu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi memaklumkan, lima individu berusia 30 hingga 60 tahun itu direman bermula Khamis hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek itu ditahan di sekitar ibu negara sekitar jam 9 malam oleh polis Kuala Lumpur pada Jumaat.

Selain sepasang suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

Kesemua suspek berkenaan kemudian diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor sebelum diserahkan semula kepada Polis Kuala Lumpur selepas reman terhadap mereka tamat pada Rabu.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.