Polis KL terima 47 laporan penipuan haji, kerugian RM2 juta

Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima 47 laporan berkaitan penipuan haji oleh dua ejen pelancongan melibatkan kerugian RM2 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, lima individu termasuk tiga wanita berusia 28 hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek telah direman selama tiga hari mulai 14 hingga 16 Julai lalu. Setelah tamat tempoh reman, kesemua individu terbabit diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor untuk siasatan berkaitan modus operandi yang sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, beberapa tindakan sedang diambil bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan tindakan lanjut.

"Kita menggesa orang ramai yang telah ditipu supaya membuat laporan polis dengan segera. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.