JKPK sedia bantu jika perlu satu lagi jawatankuasa Parlimen

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) Parlimen Keempat Belas sedia membantu sekiranya wujud keperluan penubuhan satu lagi jawatankuasa Parlimen untuk menilai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 agar selaras dengan Akta Kanak-Kanak [Akta 611] dan United Nations Convention on the Rights of a Child (CRC).

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah bersetuju meminda sebahagian daripada RUU tersebut, mengambil kira pandangan dan input 'bi-partisan' dari JKPK.

"Walaubagaimanapun, JKPK memahami bahawa cadangan-cadangan pemindaan kepada RUU yang dibekalkan kepada pihak KKM hari ini seharusnya juga melalui proses libat urus bersama pemegang taruh.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, badan-badan bukan kerajaan, wakil kanak-kanak dan sebagainya.

"Pihak JKPK turut berharap pihak KKM dapat mengulangi pendirian pihak KKM bahawa mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan kanak-kanak adalah selaras dengan Akta Kanak-Kanak [Akta 611] dan United Nations Convention on the Rights of a Child (CRC) dalam sidang Dewan Rakyat, bagi direkodkan di dalam hansard Parlimen," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kementerian Kesihatan (KKM) dilapor bersetuju membuat empat pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, termasuk mengurangkan kadar denda am terbabit.

Keputusan itu selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertemu serta berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen, serta PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen.

Beliau memaklumkan, antara pindaan dipersetujui itu ialah mengurangkan kadar denda am untuk GEG sebanyak 90 peratus, di samping tidak mengenakan hukuman bagi kesalahan memiliki rokok dan barangan larangan lain bawah RUU itu bagi individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.