Syor wujud jawatankuasa khas bincang kawalan produk tembakau

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen pembangkang secara prinsip menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertarikh 1 Ogos.

"Petang tadi saya telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mencadangkan agar kerajaan merujuk RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

"Saya juga telah menghantar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 54(2) kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat terkait perkara ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau turut memuat naik salinan surat seperti yang telah dihantar.

Menerusi surat berkenaan, Anwar berkata, setelah mengadakan siri perbincangan bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang, beliau mendapati bahawa Ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang secara prinsp menyokong Rang Undang-Undang tersebut.

"Walau bagaimanapun, saya turut mendapati bahawa ramal Ahli-ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang yang telah menzahirkan kebimbangan terkait soal hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, serta isu-isu yang berkait dengan penguatkuasaan akta ini kelak," tulis beliau.

Menerusi surat itu juga beliau mencadangkan kerajaan merujuk Rang Undang-Undang tersebut ke sebuah Jawatankuasa Pilihan yang dinamakan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk membuat syor mengenai dua perkara.

"Pertama, meneliti dan memberi pengkhususan ke atas isu-isu keperlembagaan, penguatkuasaan, serta perkara-perkara yang berkaitan pelaksanaan kawalan produk tembakau dan merokok.

"Kedua, menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan Rang Undang-Undang berkaitan kawalan produk tembakau dan merokok atau yang berkaitan dengannya dalam tempoh satu bulan. Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh ini sekiranya perlu.

"Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini dicadangkan terdiri daripada sejumlah Ali Dewan Rakyat yang mewakill semua parti dan diketuai oleh Menteri Kesihatan," ujarnya.