Tunku Temenggong Johor kongsi gambar, video kereta digeser

Tangkap layar video dikongsi Tunku Idris di Instragram miliknya.
Tangkap layar video dikongsi Tunku Idris di Instragram miliknya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkongsi kejadian kereta Honda miliknya digeser sebuah kereta jenis BMW ketika diletakkan di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang, Taman Pelangi pada Isnin.

Melalui hantaran di Instagram, Tunku Idris memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu selain gambar bahagian keretanya yang tercalar dan gambar kereta yang melanggarnya.

Menerusi rakaman CCTV itu, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2.17 petang Isnin ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu hendak ke ruang parkir yang kosong.

Video berdurasi 60 saat itu menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada kenderaan tersebut dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

Mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian tersebut dan laporan mengenainya dibuat di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.

"Bagi tindakan seterusnya, kita akan tunggu hasil siasatan nanti," katanya.