BN Perak pertimbang calon kalah PRU14

Saarani (depan, tengah) bersama veteran tentera yang hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta, Ipoh pada Isnin.
Saarani (depan, tengah) bersama veteran tentera yang hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak sedang mengkaji sama ada calon yang tewas pada pilihan raya umum (PRU) terdahulu akan dipertimbangkan semula sebagai calon bagi PRU15 atau sebaliknya.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ada dalam kalangan calon sebelum ini tewas tetapi masih mempunyai sokongan daripada pengundi dan melaksanakan tugas dengan baik.

Menurutnya, kriteria penting dalam memilih calon pada PRU15 nanti adalah individu yang boleh memenangi kerusi dan disukai ramai.

"Kita sedang buat kajian. Jika orang yang tewas dahulu sebenarnya dia masih lagi ada sokongan yang kuat, ada setengah tempat dia tewas bukan sebab dia tak baik, tapi sabotaj dalaman. Tak adil bagi dia.

"Sekiranya calon berkenaan 'winnable' tak kiralah dia orang lama ke orang baru atau pun orang yang kalah atau pun belum kalah, kalau dia 'winnable' kita akan letak dia sebab kita bertanding untuk menang," katanya kepada pemberita ketika Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta di sini pada Isnin.

Sementara itu, ditanya sama ada BN Perak akan meletakkan lebih ramai golongan profesional menjadi calon pada PRU15 nanti, Saarani menegaskan calon-calon yang akan bertanding perlu terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, tidak semestinya calon mesti daripada golongan profesional semata-mata tetapi perlu melibatkan golongan lain termasuk orang lama.

"Saya sambut baik jika ada calon-calon baharu ini orang profesional, kenapa tidak? Sebab menubuh kerajaan ini mesti datang daripada pelbagai lapisan dan latar belakang.

"Kalau semua orang baharu sangat pun tak boleh, dia kena ada orang lama yang boleh bimbing. Kalau semua profesional pun susah juga," katanya yang juga Pengerusi UMNO negeri.