Rumah teres jadi makmal proses dadah

Antara paket yang berisi dadah dirampas menerusi operasi yang dijalankan.
Antara paket yang berisi dadah dirampas menerusi operasi yang dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerak-geri mencurigakan di sebuah rumah teres membawa kepada pembongkaran makmal memproses dadah dalam serbuan di Taman Mastiara, off Jln Ipoh, di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 2.45 pagi itu berjaya menahan seorang kontraktor elektrik yang berperanan sebagai tukang memproses dadah jenis ketamin.

"Suspek merupakan lelaki warga tempatan dan berumur 39 tahun itu merupakan seorang duda anak satu telah dibebaskan daripada penjara pada 2019 atas kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek dipercayai menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lalu bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

"Satu kilogram dadah jenis ketamin yang siap diproses dipercayai untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur dirampas dalam serbuan itu selain pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah antara yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah antara yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.

Tambah Azmi, ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, JSJN KL bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Kuala Lumpur dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan (AADKWP) melaksanakan Op Tapis di seluruh Kuala Lumpur.

Menurutnya, operasi menyasarkan kawasan perumahan awam dan juga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

"Seramai 209 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dadah dan daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah (Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas(LLPK) 1985.

"Selain itu, 24 individu diambil tindakan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang (Sek 39c Akta Dadah Berbahaya 1952) dan lapan individu diambil tindakan kerana dikehendaki (wanted) di bawah pelbagai kesalahan dadah," katanya.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan melibatkan jumlah RM 374,829.40.

"Antara dirampas melibatkan 15 liter cecair pelbagai jenis dadah, 1.6 kilogram pelbagai jenis dadah, sitaan harta melibatkan wang tunai RM340 dan sebuah kereta jenis Honda Accord dianggarkan bernilai RM40,000," katanya.