Tiada keperluan pendekkan tempoh pemeriksaan berkala di Puspakom

Ka Siong (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan sijil oleh Onn Hafiz kepada penerima pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Angkat Sumpah Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor di Iskandar Puteri pada Ahad
Ka Siong (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan sijil oleh Onn Hafiz kepada penerima pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Angkat Sumpah Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor di Iskandar Puteri pada Ahad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiada keperluan memendekkan tempoh pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berkala enam bulan kepada satu tempoh lebih singkat terutama untuk kenderaan perdagangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tempoh pemeriksaan berkala yang ditetapkan Puspakom ketika ini adalah memadai.

"Kita perlu mempunyai justifikasi untuk melaksanakan perkara tersebut di mana keputusan tidak boleh hanya berdasarkan beberapa kejadian kemalangan yang berlaku kebelakangan ini.

"Saya lihat tempoh itu memadai, sebaliknya apa yang perlu dibuat adalah memastikan undang-undang dipatuhi dan bukan sekadar membawa lori datang untuk pemeriksaan.

"Kita perlu lihat apakah berat muatan yang dibawa lori berkenaan, mengambil contoh insiden kemalangan lori di Tambak Johor baru-baru ini, siasatan mendapati memang lori berkenaan melebihi muatan, kalau begitu memang brek rosak, itu antara contoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Angkat Sumpah Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor di Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Program berkenaan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Baru-baru ini, kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan khususnya lori kerap dilaporkan berlaku, antara punca kejadian dikenal pasti akibat masalah teknikal khususnya melibatkan sistem brek dan muatan berlebihan.

Ka Siong berkata, perkara yang penting adakah lori berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan selepas pemeriksaan berkala tersebut.

"Pemeriksaan satu perkara, tetapi selepas pemeriksaan apakah mereka kerap membawa muatan melebihi had, apabila lalu lereng bukit sudah tentu cengkaman brek akan menjadi berlainan di mana terdapat momentum dan tarikan graviti yang akan menyebabkan impak pelanggaran yang lebih besar," katanya.

Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu itu dan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan penguatkuasaan lebih tegas.

"Kita pandang berat isu ini, tindakan tegas juga telah diambil terhadap lori yang didapati membawa muatan berlebihan, bukan sahaja di Johor tetapi juga di tempat lain," katanya.